Berdasarkan laporan Malaysian Financial Planning Council (MFPC) di penghujung tahun 2016, sejumlah 22,663 rakyat Malaysia berusia kurang dari 35 tahun telah pun diishtiharkan muflis sepanjang tahun 2011 dan 2015. Ini angka yang amat memeranjatkan!
Mungkin anda bukanlah salah seorang daripada mereka. Tetapi jika anda sering sahaja pokai, atau mendapati diri sukar untuk memenuhi keperluan perbelanjaan bulanan, realitinya, anda mungkin perlu lakukan sesuatu tentang pengurusan kewangan anda sebelum terlambat.
Tidak dinafikan, kos sara hidup yang tinggi masa ini amat merisaukan bukan sekadar generasi millennial tetapi juga generasi sebelumnya, Generasi X. Tapi jangan terlalu khuatir, masih ada jalan untuk mengatasinya dan memperbaiki situasi kewangan kita.
Tetapi sebelum kita cuba mencari jalan untuk membaik pulih kedudukan kewangan kita, mungkin baik jika terlebih dahulu kita mengenal pasti sebab-sebab kita di dalam dilema ini.
5 sebab utama rakyat Malaysia sering pokai!
1. Tidak membuat bajet bulanan
Bajet sepatutnya dijadikan matapelajaran wajib di setiap sekolah rendah! Salah satu sebab utama mengapa ramai yang sering pokai adalah kerana tidak ada tabiat melakukan bajet. Lalu mereka tidak tahu ke mana perginya wang mereka setiap bulan.
Bajet membolehkan anda merancang dengan teliti perbelanjaan anda setiap bulan tanpa hilang fokus terhadap jumlah pendapatan yang boleh dibelanjakan, Padankan segala perbelanajaan bagi keperluan utama setiap bulan dan padankan dengan jumlah pendapatan bersih anda.
Setelah lakukan ini, anda mungkin terkejut apabila anda sedar bahawa tidak banyak yang tinggal untuk perkara-perkara lain. Jadi selama ini anda mungkin terlebih belanja sebenarnya. Pada hakikatnya anda mungkin tidak mampu pun untuk membayar latte sebanyak RM12 segelas setiap hari. Tapi ramai tidak sedar, sebab setiap kali mereka kekurangan wang di dalam poket, mereka keluarkan saja kad kredit. Senang kan?
Dengan adanya bajet bulanan dan mematuhinya dengan penuh disiplin, anda akan sentiasa sedar sebanyak mana wang yang tinggal untuk dibelanjakan maka anda tidak akan berbelanja sewenang-wenangnya.
Lakukan: Bajet bulanan
2. Berbelanja melebihi pendapatan
Sering kali inilah sebabnya mengapa kita selalu pokai. Puncanya – tidak melakukan bajet maka tidak menyedari berapa banyak sebenarnya perbelanjaan kita setiap bulan, DAN tidak mempunyai disiplin untuk mengawal diri dari bersikap boros.
Memang seronok kalau kita boleh memiliki segala apa yang kita ingini. Model smartphone yang terbahru. Jenama handbag terkenal yang dibawa oleh semua celebrity kita sanjungi. Ramai yang tidak mampu memilikinya tetapi mereka fikir mereka mampu kerana mereka boleh membeli menggunakan kad kredit.
Ambil perhatian pesan ini: Jika anda tidak mampu membeli sesuatu dengan tunai, anda sebenarnya tidak mempu memilikinya. Dengan pengecualian rumah atau kereta. Kita memerlukannya tetapi tidak ramai yang mampu membeli secara tunai.
Lakukan: Hiduplah di bawah kemampuan
3. Anda miliki kehidupan sosial yang mewah
Jika anda menetap di kota, tiada lagi dapat anda nikmati sepinggan nasi ayam berharga 5 ringgit. Kini harga yang kita bayar untuk makan tengahari setiap hari lebih kurang RM10 sepinggan.
Jika anda rasa ini sudah cukup membebankan, realitinya, anda mungkin tidak mampu untuk mengunjungi kafe-kafe hipster yang cool di setiap hujung minggu untuk menikmati kek dan smoothie.
Renungkan sejenak. Adakah anda betul-betul perlu untuk berbelanjakan wang anda ke atas makanan dan minuman di tempat-tempat mahal sebegini? Ataupun anda cuma perlukan gambar baru untuk menghiasi laman sosial media anda seperti Facebook dan Instagram?
Jangan keliru antara keperluan dan kemewahan. Jika tidak mampu, tinggalkan sifat ingin berlebih-lebihan. Carikan alternatif yang lebih berpatutan dan bersesuaian dengan bajet anda.
Lakukan: Kawal diri dari bersifat boros
4. Tidak miliki matlamat kewangan
Sebagai kanak-kanak, kita dibesarkan dengan iba-bapa yang sering memberi dorongan untuk miliki cita-cita yang tinggi. Ibu-bapa selalu berpesan kepada anak-anak mereka agar belajar rajin-rajin untuk menjadi doktor, peguam dan jurutera.
Tetapi berapa ramai pula yang berpesan kepada anak-anak mereka bahawa matlamat kewangan yang kukuh juga adalah sama pentingnya?
Jadi tidak hairanlah mengapa ramai antara kita yang tidak tahu menahu tentang perancangan kewangan peribadi. Kita hidup kais pagi makan pagi, hari demi hari. Tanpa wang simpanan, rancangan kewangan untuk persaraan, tiada tabung kecemasan, tiada caruman Takaful, dan tiada sebarang jenis pelaburan.
Sebagaimana yang dilapurkan oleh KWSP, lebih 50% rakyat Malaysia tidak mempunyai aset kewangan. Malahan, setiap 1 di antara 3 orang rakyat Malaysia tidak pun miliki akaun simpanan!
Masih belum terlambat untuk mulakan perancangan untuk masa depan anda. Mula menabung, belajar tentang pelaburan dan mulakan tabung kecemasan. Perlindungan perubatan adalah amat mustahak jadi jangan abaikannya.
Lakukan: Senaraikan matlamat kewangan anda
5. Tidak celik kewangan
Jika anda masih lagi membaca artikel ini dan merasai ianya mengena dengan situasi anda, besar kemungkinannya anda buta kewangan.
Anda tidak perlu pun menjadi pakar dalam kewangan. Tiada siapa pun yang suruh anda hafal setiap perhataan dalam buku popular Robert Kiyosaki : Rich Dad Poor Dad. Tapi kalau anda tak tahu pun berapa sebenarnya perbelanjaan keperluan anda setiap bulan, atau berapa interest yang anda dikenakan oleh syarikat kad kredit anda, anda sebenarnya di dalam masalah besar.
Celik kewangan bererti anda memiliki pemahaman tentang kewangan yang membolehkan anda membuat keputusan perangcangan kewangan yang bijak, Selain mempunyai kesedaran untuk sentiasa membaiki kedudukan kewangan anda pada masa ini dan akan datang dengan simpanan dan pelaburan.
Lakukan: Mula membaca tentang perancangan kewangan
Tiada istilah sudah terlambat dalam usaha mengubah kehidupan. Jika anda ingin lakukan perubahan segara dan memperbaiki kedudukan kewangan anda, ambillah nasihat kami di sini. Atau dapatkan nasihat pakar daripada Financial Advisor yang sedia membantu. Antara tugas financial advisor adalah untuk mengenal pasti kedudukan anda masa ini dan merancang kewangan peribadi anda untuk jangka masa pendek dan panjang.
Jika anda ingin dapatkan nasihat dari financial advisors yang boleh dipercayai, semak direktori di sini.
Leave a Comment