Malaysia mempunyai lebih RM327 juta wang dalam bentuk pampasan dan dana polisi matang yang masih belum dituntut, sejak 5 tahun lepas, menurut Persatuan Insurans Hayat Malaysia.

Persatuan tersebut menyatakan bahawa bagi tahun 2016 sahaja, sejumlah RM64 juta daripada wang tersebut telah pun diserahkan kepada Pendaftar Wang Tak Dituntut di bawah Jabatan Akauntan Negara.

Persatuan yang terdiri daripada 16 ahli yang merangkumi syarikat-syarikat insurans dan Takaful itu wajib menyerahkan rekod wang tidak dituntut kepada jabatan tersebut setiap tahun.

Menurut persatuan itu lagi. 516,728 dana daripada polisi matang bagi insurans hayat yang telah dilupai pemegang polisi dan pewaris mereka. Hampir kesemua pemegang polisi yang terbabit dengan isu ini tidak dapat dihubungi kerana maklumat hubungan yang tidak dikemaskinikan.

Pada tahun 2012, dana yang diserahkan berjumlah hampir RM80 juta, RM54 juta pada tahun 2013, RM67.5 juta pada 2014 dan RM61.5 juta pada 2016.

Cubaan demi cubaan dibuat untuk menghubungi pemegang polisi atau pewaris sebelum serahan wajib dibuat ke Pendaftar Wang Tidak Dituntut.

Menurut undang-undang, penyerahan perlu dibuat setelah cek dikeluarkan atas nama mereka dikembalikan dan segala usaha untuk hubungi mereka gagal.

Etiqa Insurance, salah satu daripada ahli persatuan tersebut, melaporkan sejumlah RM13 juta dana tidak dituntut terakru bagi tahun lepas.

Menurut Maybank Ageas Holding Bhd, syarikut induk Etiqa, hal ini berlaku kerana ramai di antara pelanggan yang tidak sedar bahawa polisi mereka telah pun mencapai tempoh kematangan.