Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) (Pindaan) 2017 yang diluluskan di Dewan Rakyat minggu lepas menjadikan perkhidmatan teksi e-hailing sah di sisi undang-undang.

Dengan terlaksananya rang undang-undang tersebut, operator perkhidmatan seperti Grab dan Uber serta pemandu-pemandu akan dikawal selia oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi Semenanjung Malaysia dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) bagi negeri Sabah dan Sarawak.

“Syarat-syarat yang dikenakan kepada pemandu teksi pada waktu ini seperti pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan kenderaan berkala, keperluan dilindungi insurans dan kad pemandu akan turut dipatuhi oleh pemandu-pemandu perkhidmatan e-hailing,” kata Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Kita mahu menguatkuasakan serta-merta tetapi kita perlu mengambil kira semua perkara untuk menyelaraskannya yang dianggarkan boleh dilaksanakan dalam tempoh setahun,” katanya lagi.