Kita kerap mendengar atau membaca berita tentang rakyat Malaysia yang terlantar di hospital sambil menunggu ehsan orang ramai di tanahair kerana tidak mampu menanggung kos perubatan ketika terjatuh sakit di luar negara. Perkara ini tidak mungkin berlaku seandainya kita melindungi diri dengan membeli insurans dan Takaful perjalanan setiap kali kita ke luar negara. Akan tetapi masih ramai yang tidak mengambil berat tentang kepentingan dan keperluan perlindungan ini.

Menurut kajian yang dilakukan di talian oleh syarikat insuras am Tune Protect baru-baru ini, walaupun 80% rakyat Malaysia yang memahami kepentingan perlindungan tersebut, malangnya hanya 34.8% yang membelinya untuk perlindungan diri.

 

insurans perjalanan

Mampukah kita menanggung segala kos perubatan di luar negara?

 

Sikap pelancong Malaysia

Apabila merancang sesuatu perjalanan atau percutian, rakyat Malaysia masih hanya pentingkan keseronokan dan tidak mengambil endah tentang keselamatan diri. Ini berpunca daripada sikap yang menganggap kemalangan tidak akan berlaku pada diri sendiri.

Segala persiapan dilakukan dengan rapi. Dari tiket kapalterbang ke penginapan hotel perlu terlebih dahulu ditempah. Bahkan ramai yang menghabiskan masa berjam-jam melayari laman Tripadvisor dan Agoda untuk memilih hotel yang cantik dan sesuai dengan citarasa dan bajet.

Pakaian yang ingin dibawa juga perlu lengkap. Baju sejuk diperlukan jika melancong ke negara sejuk. Selipar dan topi pula jika ke kepulauan tropika.

Sebelum bermula perjalanan atau percutian pula, kunci rumah ditinggalkan dahulu bersama adik-beradik jika berlakunya sebarang kecemasan. Agenda percutian dan itinerari perjalanan diberi kepada ibu dan ayah agar mereka tahu di mana kita berada di sepanjang percutian.

Tapi berapa ramai yang melayari laman syarikat insurans untuk membuat sedikit kajian tentang produk insurans perjalanan yang ditawarkan? Dan berapa ramai pula yang membelinya? Japawannya telah pun disebut di atas: 3 atau 4 dalam setiap 10 orang.

 

Persiapan lengkap, tapi mana insurans perjalanannya?

 

Fungsi insurans perjalanan. Apa yang dilindungi?

Malang tidak berbau. Ianya boleh menimpa sesiapa, di mana jua dan pada bila-bila masa sahaja. Dan ianya hanya perlu berlaku sekali, padah dan akibatnya mungkin kita tanggung sepanjang hayat, seperti kes-kes yang disebut di atas.

Di sini senarai risiko yang dilindungan insurans perjalanan untuk pemahaman kita:

1. Pembatalan atau pemendekan perjalanan

Kos yang ditanggung bagi perjalanan yang tidak dapat dituntut semula seperti deposit hotel dan tiket penerbangan setelah perjalanan terpaksa dibatalkan atau dipendekkan akan diberi pampasan oleh syarikat insurans. Sebab-sebab pembatalan dan pemendekan perjalanan perlulah munasabah dan mengikut syarat.

 

2. Kelewatan perjalanan

Kos yang ditanggung akibat kelewatan penerbangan atau pelayaran akan dibayar oleh polisi insurans perjalanan. Tempoh kelewatan yang ditetapkan untuk memenuhi syarat mungkin berbeza mengikut syarikat insurans. Kebiasaannya ianya tidak kurang dari 12 jam. Pampasan juga diberi ke atas belanja makan dan penginapan akibat kelewatan ini.

 

3. Kelewatan bagasi

Anda diberi ganti rugi sekiranya berlaku kelewatan bagasi jika melebihi sesuatu tempoh waktu. Bayaran juga diberikan jika anda terpaksa membeli pakaian baru atau keperluan lain disebabkan oleh kelewatan bagasi anda ketika di luar negara.

 

4. Risiko ke atas barang-barangan peribadi, wang ringgit serta passport

Insurans perjalanan memberi perlindungan terhadap kerosakan atau kehilangan barangan peribadi disebabkan oleh kenderaan pengangkut. Ini termasuklah bagasi, barangan peribadi serta wang ringgit. Jika kehilangan passport dan dokumen perjalanan, pampasan akan diberikan selama anda terpaksa menunggu passport/ dokumen diganti. Pampasan ini termasuklah kos tambahan untuk penginapan, perbelanjaan perjalanan dan komunikasi.

 

5. Kos perubatan

Kos perubatan di negara luar jauh berbeza dengan kos di negara kita. Perlindungan ini adalah yang terpenting sekiranya anda ingin ke luar negara terutama negara-negara kos tinggi seperti United Kingdom, Australia dan Jepun. Kos rawatan, pembedahan, dan hospital ditanggung oleh syarikat insurans sekiranya anda jatuh sakit atau kemalangan semasa dalam perjalanan anda.

 

6. Pemindahan perubatan kecemasan

Sekiranya anda perlukan rawatan semasa di luar negara manakala kemudahan perubatan di kawasan di mana anda berada tidak memadai, polisi insurans perjalanan anda akan menanggung kos pemindahan kecemasan anda ke hospital yang bersesuaian. Contoh sekiranya anda melancong ke ski resort di puncak gunung dan mengalami kemalangan. Anda mungkin perlu diterbangkan menaiki helikopter ke hospital terdekat.

 

7. Penghantaran pulang jenazah

Sekiranya berlaku kematian ketika dalam perjalanan, pihak syarikat insurans akan menanggung kos membawa balik jenazah pemegang polisi insurans perjalanan.

 

8. Liabiliti diri

Sekiranya anda menyebabkan kecederaan kepada pihak ketiga atau mengakibatkan kerosakan harta benda pihak ketiga, polisi insurans perjalanan akan lindungi anda daripada liabiliti dan membayar perbelanjaan guaman.

 

Harga insurans perjalanan sebenarnya tidaklah mahal, terutama sekali jika dibandingkan dengan kos perjalanan itu sendiri. Jadi mengapa ambil risiko?

Jika inginkan lagi keterangan lanjut atau ingin mula dapatkan sebutharga bagi jenis-jenis produk perlindungan perjalanan yang ditawarkan, tanyakan kepada ejen-ejen di direktori dengan mudah di sini.