Kuala Lumpur, 2 Januari 2018 – Zurich Insurance Malaysia Berhad (ZIMB) telah memindahkan perniagaan insurans amnya kepada entiti yang baru ditubuhkan iaitu Zurich General Insurance Malaysia Berhad (ZGIMB), berkuatkuasa 1 Januari 2018.

Pemindahan ini merangkumi pekerja, aset dan liabiliti, pengedar (ejen dan broker) dan kontrak-kontrak di bawah perniagaan insurans am.

Menurut ZTMB, tiada perubahan terma dan syarat bagi polisi-polisi insurans am yang telah dikeluarkan sebelum ini. Segala tuntutan insurans di bawah polisi insurans am yang baharu mahupun sedia ada akan dikendalikan sepenuhnya oleh ZGIMB.

Bagi mengelakkan kekeliruan, ZIMB kini dikenali sebagai Zurich Life Insurance Malaysia Berhad (ZLIMB) dengan Philip Smith kekal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan.

Manakala David Fike, sebelum ini Presiden Insurans Am ZIMB kini dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif ZGIMB.

Kedua-dua ZGIMB dan ZLIMB akan terus beroperasi melalui gabungan rangkaian cawangan di 40 lokasi di seluruh negara.

ZGIMB ditubuhkan bagi mematuhi syarat yang ditetapkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Financial Services Act 2013), di mana penanggung insurans komposit dikehendaki mengasingkan kedua-dua perniagaan insurans hayat dan insurans am di bawah entiti yang berbeza.

Untuk maklumat lanjut mengenai ZGIMB dan ZLIMB, para pelanggan boleh layari laman web www.zurich.com.my.