OK sebelum kita menjawab soalan tajuk artikel kali ini, biarlah kita ingatkan diri kita bahawa memandu tanpa lesen adalah kesalahan yang tidak sepatutnya diambil mudah. Malangnya sesetengah daripada kita sebagai pemandu tidak memandang serius perkara ini.

Ramai yang menganggap kebolehan memandu saja sudah cukup bagi seseorang untuk memandu kereta di jalanraya. Dengan pemikiran sebegini, ada juga ibu bapa yang membenarkan anak-anak remaja mereka memandu kereta mereka walaupun masih belum memiliki lesen yang sah.

Malah setiap kali pihak polis dan JPJ mengadakan operasi, kesalahan tertinggi yang didapati ialah kesalahan memandu tanpa lesen. Dalam tahun 2014 dan 2015 sahaja, lebih 630,000 pemandu dan penunggang motosikal yang dikenakan saman kerana kesalahan tersebut. Kesalahan ini juga adalah antara penyebab utama kadar kemalangan jalanraya yang tinggi setiap tahun.

 

Akibat memandu tanpa lesen

Di bawah Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan, jika anda ditahan ketika memandu tanpa lesen, anda akan dikenakan denda sebanyak RM1,000 atau penjara selama setahun atau kedua-duanya sekali. Tetapi semenjak tahun 2016, pesalahan tidak sekadar dikenakan saman dan kompuan, malah akan diheret terus ke mahkamah.

Pesalah-pesalah juga boleh didakwa di bawah Seksyen 90 jika didapati tidak memiliki perlindungan insurans atau takaful kenderaan yang sah. Jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan denda RM2,000 atau tiga bulan penjara, atau kedua-duanya sekali.

Di bawah undang-undang yang sama, pihak berkuasa juga akan terus merampas kenderaan yang dipandui. Pemilik sebenar kenderaan akan dipanggil untuk memungut semula yang dirampas. Pemilik juga akan dikenakan kompaun sebanyak RM300 kerana membenarkan pemandu tanpa lesen sah memandu kenderaan milik mereka.

Ini adalah tindakan drastik yang diambil pihak berkuasa dalam menangani isu peningkatan kesalahan memandu tanpa lesen dan juga untuk membendung kadar kemalangan jalanraya.

Memang diakui, kadang-kadang kita sebagai manusia tidak lari dari membuat kesilapan, termasuklah lupa tentang tarikh luput lesen memandu kita. Jadi apa akan terjadi sekiranya kita terlibat dalam kemalangan ketika lesen kita sudah tamat tempoh?

 

Kemalangan tanpa lesen kereta. Bolehkan saya buat tuntutan takaful?

2 senario yang kita akan perhatikan:

1. Lesen tamat tempoh (lesen mati)

Jika anda adalah pemandu yang berlesen tetapi berkemalangan ketika lesen sudah tamat tarikh, tuntutan takaful anda tidak akan ditolak oleh pengendali takaful. Cuma pastikan takaful atau insurans adalah sah. Fuh lega!

Ini adalah kerana anda masih memiliki lesen memandu yang sah dari segi undang-undang. Anda cuma ‘terlupa’ untuk memperbaharui (renew) lesen anda.

Akan tetapi, anda masih boleh dikenakan kompaun kerana memandu dengan lesen yang telah tamat tempoh. Kompaun yang dikenakan adalah mengikut Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan denda maksimum RM300. Lihat risalah dibawah yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalanraya Malaysia.

lesen tamat tempoh

 

2. Memang tiada langsung lesen memandu

Lain pula dengan senario di atas, ini kes sekiranya pemandu memang langsung tidak memiliki lesen memandu.

Bagi pemandu ini, sekiranya mereka terlibat dalam kemalangan jalanraya, tuntutan takaful atau insurans tidak akan dilayan oleh syarikat insurans atau pengendali takaful. Samalah kes jika mereka memiliki lesen hanya bagi menunggang motosikal, tetapi semasa kemalangan mereka memandu kereta.

Jadi jika anda membiarkan kereta atau motosikal anda dipandu oleh seseorang yang tidak memiliki lesen, jika kenderaan anda remuk dipandu atau ditunggangnya, anda tidak akan dapat membuat tuntutan terhadap kerosakan kenderaan anda. Terpaksalah anda membayar sendiri segala kos membaiki kereta anda.

Bagaimana syarikat insurans atau pengendali takaful dapat mengesan kes ini? Mudah. Untuk membuat tuntutan, salah satu dokumen yang diperlukan syarikat insurans atau pengendali takaful adalah salinan lesen memandu anda!

Maka berhati-hatilah ketika meminjam kenderaan kepada orang lain!

 

Masih keliru?

Jika anda masih mempunyai pertanyaan atau kemusykilan tentang perkara berkaitan lesen memandu dan tuntutan insurans, tujukannya ke forum insurans iBanding di sini. Pakar industri yang terdiri daripada ejen-ejen takaful dan insurans dapat membantu menjawab pertanyaan anda.

forum insurans

 

Jangan lupa share artikel ini setelah membaca, dan Like kami di laman Facebook kami untuk mendapatkan artikel-artikel terbaru setiap minggu!

Jika anda sedang mencari ejen insurans yang berpengalaman, dapatkan dari direktori ejen di sini.