Menurut laporan The Wall Street Journal, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini di dalam rundingan bersama firma insurans dari Singapura, Great Eastern Holdings Ltd. untuk membeli saham minoriti dalam unit Malaysia syarikat itu.

Memetik sumber nilai perjanjian tersebut mungkin mencecah AS$1 bilion (RM3.9 bilion).

Rancangan ini sejajar dengan arahan Bank Negara Malaysia yang mengkehendaki semua syarikat insurans yang beroperasi di negara ini sekurang-kurangnya dimiliki sebahagiannya oleh syarikat tempatan. Semua syarikat insurans diberi sehingga bulan Jun tahun ini untuk memenuhi arahan ini.

Menurut sumber lagi, rundingan masih di peringkat awal tanpa kepastian urusniaga dan Great Eastern mempunyai pilihan untuk menyenaraikan unit insuransnya di Malaysia sekiranya rundingan bersama KWSP tidak membuahkan hasil.

Susulan arahan BNM yang dikeluarkan pada April 2016, Tokio Marine Jepun dan Great Eastern merupakan antara syarikat insurans yang dilaporkan telah melantik bank-bank pelaburan bagi mendapatkan nasihat mengenai penjualan 30% saham ekuiti kepada pembeli tempatan.