Satu lagi kemudahan yang dibawakan oleh perkembangan teknologi masa kini. Pelanggan insurans dan takaful kenderaan Etiqa kini boleh menikmati proses tuntutan yang lebih pantas dengan kelulusan dalam masa 30 minit.

Perkhidmatan terbaharu daripada Etiqa ini adalah perkhidmatan Bantuan Video Tuntutan Etiqa (E-Cleva) yang membolehkan proses tuntutan dilakukan melalui panggilan audio video.

Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Insurance & Takaful, Kamaludin Ahmad berkata, pelanggan yang mengalami sebarang kerosakan sama ada pada cermin kereta atau kereta itu sendiri, ianya boleh dinilai dan diluluskan oleh pihak Etiqa dalam masa kurang 30 minit. Kemudiannya, pembayaran akan terus dibuat kepada pelanggan yang membuat tuntutan.

Menurut beliau, “Ini membolehkan pembuat tuntutan mengambil gambar atau merekodkan video bagi memberi gambaran jelas tentang kerosakan kepada perunding kami.

“Sistem E-Cleva ini merupakan satu daripada contoh komitmen berterusan Etiqa bagi menawarkan pengalaman yang mudah dan pantas kepada pelanggan kami.

“Kebiasaannya pihak yang membuat tuntutan sering berhadapan dengan masalah untuk memandu kenderaan mereka ke bengkel atau mengatur temu janji dengan pegawai penilai bagi menilai kerosakan terhadap harta benda dan rumah. Tetapi dengan perkhidmatan ini pelanggan tidak perlu risau kerana pembayaran akan dibuat serta merta,” katanya.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai e-Cleva, tonton video di bawah.