Apa itu NCD dan bagaimana ia dapat menjimatkan premium insurans anda
Dalam video di bawah, kita dapat fahami jenis-jenis polisi insurans kenderaan yang terdapat di kebanyakan negara termasuk Malaysia. Dalam artikel ini, kita akan mengupas erti salah satu komponen penting dalam polisi kenderaan iaitu No Claim Discount (NCD), atau Diskaun Tiada Tuntutan. Setelah memahami barulah kita dapat meroleh ganjaran sepenuhnya daripada komponen ini.
NCD atau juga dikenali sebagai No Claim Bonus, adalah suatu jenis bonus atau ganjaran yang diberi kepada pengguna jika tiada tuntutan dibuat terhadap polisi kenderaan untuk tempoh 12 bulan sebelum itu. Secara ringkas, ia bermakna, jika selama 12 bulan anda tidak pernah membuat tuntutan, maka pada masa anda memperbaharui polisi anda, anda akan diberi discount.
Berapa banyak diskaun?
Berapa banyak discount yang diberi berdasarkan jenis kenderaan. Kenderaan persendirian menikmati discount lebih tinggi berbanding kenderaan komersial dan motosikal. Gambarajah di bawah menunjukkan diskaun mengikut jenis kenderaan dan jumlah tempoh mengikut tahun. Ia adalah kadar tetap yang ditentukan oleh Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) jadi ianya tidak berbeza-beza mengikut syarikat insurans.
Bagaimana fungsinya?
Untuk mendapatkan diskaunnya, anda perlu memenuhi syarat 12 bulan tanpa tuntutan. Ini bermakna, jika anda membeli polisi insurans kenderaan untuk pertama kalinya, anda cuma akan dapat diskaun di masa anda perlu memperbaharui polisi itu setelah tahun pertama. Di sini, anda dapat menikmati diskaun sebanyak 25% (kita ambil contoh kenderaan persendirian).
Seterusnya, jika anda terus tidak membuat sebarang tuntutan untuk tahun kedua (iaitu 24 bulan tanpa tuntutan) maka diskaun anda akan meningkat ke 30% semasa pembaharuan tahun ketiga.
Apa pula akan terjadi jika anda terpaksa melakukan tuntutan? Contohnya pada tahun ketiga, anda kemalangan dan terpaksa membuat tuntutan dari pihak insurans untuk membaiki kenderaan. Maka, di masa pembaharuan polisi, anda tidak lagi akan mendapat diskaun. Diskaun anda akan kembali kepada 0% seperti tahun pertama, dan anda mula semula dari tahap paling atas seperti dalam gambarajah. Dan tahun berikutnya jika tiada tuntutan dibuat maka diskaun anda adalah 25%.
Beberapa faktor penting mengenai NCD:
No-Fault Damage
No-fault damage adalah tuntutan kerosakan yang bukan disebabkan diri sendiri. Anda tidak akan kehilangan diskaun NCD kereta anda atas tuntutan sebegini. Contohnya, jika berlaku kemalangan yang disebabkan oleh pihak ketiga (orang lain), anda mempunyai pilihan untuk samada membuat tuntutan terhadap polisi pihak ketiga pihak terbabit, ataupun terhadap polisi komprehensif anda sendiri tanpa menjejaskan NCD kereta anda.
NCD boleh dipindahkan
Ia boleh dipindahkan dari satu kereta ke kereta lain. Contohnya jika anda mempunyai NCD sebanyak 30% dan anda ingin menjual kereta anda untuk membeli kereta baru, anda boleh memindahkan diskaun 30% itu kepada kereta baru anda.
Bagaimanapun jika anda membeli kereta baru tetapi anda tetap menyimpan kenderaan lama anda, maka kereta baru anda tiada NCD (0%) kerana anda tidak boleh menggunakan satu NCD pada lebih dari satu kenderaan. Di sini kami menasihatkan jika anda memiliki lebih dari satu kenderaan, anda sewajarnya memindahkan NCD yang tertinggi diskaunnya ke kereta yang paling tinggi harga pasarannya untuk mendapat lebih penjimatan premium.
Penukaran syarikat insurans
Jika anda ingin menukar syarikat insurans/ takaful anda, NCD kereta anda tidak akan terjejas. Bermakna anda tetap akan dapat menikmati kadar NCD yang anda telah capai walaupun dengan syarikat insurans baru.
Polisi cermin kereta
Polisi cermin kenderaan adalah satu polisi tambahan pada insurans komprehensif anda. Ramai yang memilih untuk memilikinya memandangkan jumlah yang tinggi untuk membaiki/ menukar cermin yang pecah. Jika anda memiliki polisi cermin kereta, dan membuat tuntutan terhadapnya, NCD kereta anda tidak akan terjejas. Tetapi jika anda tidak memiliki polisi ini, bila berlaku kemalangan di mana anda terpaksa membuat tuntutan bagi menukar cermin kereta anda, maka anda akan kehilangan NCD anda.
Bagaimana untuk menikmati ganjaran NCD sepenuhnya?
Ada masanya di mana ianya lebih bijak untuk membayar kos kerosakan sendiri daripada membuat tuntutan insurans untuk mengelakkan kehilangan NCD. Contohnya jika kos membaiki adalah sedikit dibandingkan dengan penjimatan yang diperolehi dari NCD. Jadi anda perlu ambil tahu berapakah premium yang anda bayar dan berapakah penjimatan dari NCD anda, supaya anda dapat membuat pilihan yang bijak. Contohnya:
A. Jika anda tidak memiliki polisi cermin kereta:
Kos membaiki cermin adalah RM 500. Kadar NCD anda ialah 55% yang memberi diskaun sebanyak RM 600. Di sini, anda tidak usah tuntut dari pihak insurans anda tetapi lebih bijak jika anda membayar sendiri kos membaiki itu. Ini kerana, anda bukan saja akan dapat menjimat RM 100 tetapi anda mendapat lebih daripada itu kerana NCD kereta anda tetap meningkat. NCD adalah lebih bernilai kerana peningkatannya setiap tahun.
B. Jika anda memiliki polisi cermin kereta:
Jika anda memiliki polisi cermin kereta, anda tidak perlu membuat tuntutan terhadap polisi ini kerana anda tidak akan kehilangan NCD anda.
Jadilah pengguna yang bijak. Fahami polisi anda, bukan saja ia dapat melindungi hak anda sebagai pemegang polisi, tetapi juga menjimatkan kos anda. Jika anda tidak pasti, dapatkan penjelasan ejen anda.
Periksa NCD anda online: Anda boleh periksa kadar NCD kereta anda di sini.
Untuk versi Bahasa Ingeris, baca di sini.