Kuala Lumpur: Majikan kini boleh dapatkan insurans bagi pekerja asing melalui sistem bersepadu di talian yang disediakan oleh Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema).

Perkhidmatan ini adalah usahasama Fomena dengan syarikat insurans seperti Etiqa Insurance & Takaful, Tune Protect Malaysia, QBE Insurance Malaysia dan Chubb Insurance Malaysia Bhd.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Hatar Ismail berkata, perkhidmatan ini menyediakan suatu platform yang menjimatkan masa serta memberikan kemudahan kepada majikan yang ingin mendapatkan insurans perlindungan terhadap pekerja asing mereka.

Dengan adanya kemudahan ini, majikan boleh berurusan secara lebih efisien dalam mendapatkan insurans di mana sahaja mereka berada, menurut beliau ketika pelancaran sistem bersepadu tersebut.

Menurut Mohd Hatar lagi, bilangan pekerja asing yang berdaftar bersama Fomena mencecah 585,213 pada April 22 tahun ini.