Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, menjadi seorang pemandu Grab adalah cara yang ringkas dan mudah untuk mendapatkan duit sampingan. Jadi bukanlah perkara yang asing bagi seorang pemandu Grab untuk mempunyai kerja tetap dan hanya memandu Grab sebagai kerja sambilan. Pada awalnya, menjadi seorang pemandu Grab dan Uber adalah sesuatu yang baru dan unik. Banyak pemandu teksi tidak sukakan persaingan baru ini kerana menjadikan pelanggan mereka berkurangan dan merendahkan pendapatan mereka. Namun Grab membuatkan perjalanan lebih menyenangkan, selamat dan selesa untuk pelancong yang sebelum ini terpaksa tawar-menawar harga dan berhadapan dengan risiko untuk ditipu.
Insurans komersial untuk pemandu Grab mahal
Satu masalah besar untuk pemandu Grab adalah untuk mendapatkan insurans kereta yang sesuai. Jika syarikat insurans mendapat tahu yang kemalangan berlaku semasa sedang memandu Grab, maka tuntutan tersebut akan ditolak. Alasannya kerana kereta tersebut tidak digunakan untuk tujuan peribadi, tetapi untuk tujuan komersial. Tujuan komersial bermaksud kenderaan tersebut digunakan untuk menjana wang. Insurans peribadi untuk pemandu Grab belum wujud lagi, dan di luar sana tiada insurans kereta terbaik untuk pemandu Grab.