Biro Penanggung Insurans Motor (MIB) bersedia untuk membantu rakyat Malaysia apabila kemalangan kereta atau motosikal berlaku dengan pemandu yang tidak diinsuranskan.

Apakah yang anda lakukan apabila anda mengalami kemalangan dengan kereta yang tidak diinsuranskan?

Kebanyakan rakyat Malaysia tahu bahawa jika anda tercedera dengan kenderaan bermotor, anda boleh membuat tuntutan Kecederaan Tubuh Badan Pihak Ketiga (TPBI) terhadap syarikat insurans kenderaan bermotor tersebut.Tetapi apa yang berlaku jika kenderaan bermotor itu tidak mempunyai perlindungan insurans? Daripada siapakah anda tuntut?

Diketika inilah Biro Penanggung Insurans Motor Malaysia Barat atau nama singkatnya MIB, memainkan peranan.

MIB ditubuhkan pada 15/01/1968 hasil daripada perjanjian yang dibuat oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Syarikat Insurans Am Malaysia dan Biro itu sendiri. Tujuan MIB adalah untuk menyalurkan pampasan kepada mangsa kemalangan jalan raya yang cedera (sama ada sebagai pemandu, penumpang atau pejalan kaki) sekiranya kenderaan bermotor pihak lain tidak mempunyai insurans.

Biro Penanggung Insurans Motor (MIB) akan membayar wang untuk kecederaan yang anda alami semasa kemalangan dengan pemandu yang tidak diinsuranskan. MIB tidak akan membayar apa-apa kecederaan yang sedia ada atau apa-apa kerosakan kepada kereta anda. Ini adalah perkara yang mengecewakan di Malaysia. Jika pihak lain memandu tanpa insurans, anda hanya boleh mendapatkan wang ganti rugi anda dengan menyaman pemandu secara peribadi.

Terdapat beberapa langkah penting yang perlu dipatuhi:

  1. Anda boleh mengemukakan tuntutan anda terus kepada Biro Penggung Insurans Motor (MIB) atau melantik seorang peguam untuk berbuat demikian.
  2. Anda mesti mengenal pasti nombor plat kenderaan bermotor yang melanggar anda (cth.WTG 1234). MIB tidak lagi membayar anda untuk kes-kes langar dan lari, iaitu apabila sebuah kenderaan melanggar anda, tetapi anda tidak dapat merakam nombor plat kenderaan tersebut .Pastikan anda tahu apa yang perlu dilakukan selepas kemalangan.
  3. Anda perlu mengemukakan tuntutan anda dalam tempoh tiga tahun dari tarikh kemalangan.
  4. Jika anda melantik seorang peguam untuk membuat tuntutan mahkamah, peguam anda mesti maklumkan perkara tersebut kepada MIB dalam tempoh 30 hari dari tarikh tuntutan mahkamah dan membekalkan MIB dengan semua dokumen yang berkaitan.
  5. MIB hanya akan membayar untuk kecederaan anda (contohnya lelasan, patah tulang) dalam kemalangan dengan pemandu yang tidak diinsuranskan. Mereka tidak akan membayar kerosakan kepada kenderaan bermotor anda, pakaian, kasut, jam tangan, kehilangan pendapatan, bil perubatan, dan lain-lain.
  6. Jumlah bayaran adalah tertakluk kepada budi bicara dan jasa baik MIB.

Anda perlu menyediakan dokumen berikut:

  1. Surat iringan yang menerangkan kemalangan anda, tujuan anda membuat tuntutan dan menyenaraikan dokumen yang dilampirkan.
  2. Laporan polis anda (mesti menyatakan nombor plat kenderaan pihak ketiga).
  3. Laporan polis pemandu kenderaan pihak ketiga (jika ada).
  4. Laporan perubatan anda.

 

Sila buat satu set salinan semua dokumen dan serahkan set dokumen asal kepada:

Biro Penanggung Insurans Motor Malaysia*

Wisma PIAM No.150-3, Tingkat 3, Jalan Tun Sambanthan, Brickfields,

50782 Kuala Lumpur

Telefon: 03-22747395

* Walaupun ia mengatakan Malaysia Barat, orang dari Sabah dan Sarawak boleh menghantar tuntutan mereka ke alamat ini juga. Apabila anda menerima jawapan daripada MIB, mereka akan meminta bayaran RM100 untuk mereka memulakan siasatan ke atas kemalangan anda. MIB kadang-kadang mengubah dasar dalamannya dan proses itu mungkin mengambil masa yang lama, oleh itu kami menasihati agar anda membuat tindakan susulan dengan menghubungi mereka setiap bulan bagi mendapatkan perkembangan terkini.

Ramai orang tidak mengetahui kewujudan MIB dan perkhidmatan yang mereka sediakan kepada orang ramai di Malaysia. Ini adalah perkara yang agak malang. Jika anda tidak pasti bagaimana untuk membuat tuntutan daripada MIB, jangan teragak-agak untuk menghubungi kami bagi mendapatkan bantuan.