14hb November adalah Hari Diabetes Sedunia. Malaysia juga turut menyambutnya dengan pihak-pihak tertentu yang mengadakan pelbagai jenis acara dan aktiviti yang bertujuan untuk memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia akan bahaya dan ancaman penyakit diabetes (kencing manis).
Persekutuan Diabetes Antarabangsa dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memperkenalkan Hari Diabetes Sedunia pada tahun 1991 sebagai tindak balas terhadap peningkatan diabetes di seluruh dunia membimbangkan. Menurut WHO, penghidap diabetes seluruh dunia meningkat dari pada 108 juta pada tahun 1980 kepada 422 juta pada tahun 2014.
Statistik Diabetes Malaysia
Dalam tahun 2015, sejumlah 3.5 juta atau 17.5% warga dewasa (18 tahun ke atas) negara ini didapati menghidap penyakit diabetes (jumlah prevalen). Ini merupakan jumlah keempat tertinggi penghidap penyakit itu di Asia. Dan dua kali ganda jumlah prevalensi dunia iaitu 8.5% (Sumber: WHO 2014).
Jumlah pesakit diabetes di negara ini didapati terus meningkat semenjak tahun 2006. Menurut Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) , pada tahun 2006 terdapat 1.9 juta penghidap dewasa. Angka itu bertambah kepada 3 juta dalam masa 5 tahun pada 2011. Ini merupakan peningkatan daripada 11.6% pada tahun 2006 kepada 15.2% pada tahun 2011 dan 17.5% pada tahun 2015.
Apa yang lebih memeranjatkan adalah separuh daripada jumlah 3.5 juta pesakit ini (9.2%) tidak mengetahui bahawa mereka sebenarnya menghidapi penyakit tersebut.
Menurut tinjauan yang sama oleh NHMS, Kedah merupakan negeri yang mempunyai jumlah paling ramai pesakit diabetes di Malaysia. 25.4% atau satu daripada empat rakyatnya yang berusia 18 tahun ke atas menghidap penyakit tersebut. Ini diikuti oleh negeri-negeri Perlis seramai 20.6% serta Johor seramai 19.8%.
Diabetes sememangnya tidak mendiskriminasi mangsa dari segi bangsa mahu pun usia. Tinjauan menunjukkan 5.5% warga dalam lingkungan usia 18-19 tahun sudah pun mengidap penyakit tersebut. Dan 2 dalam 5 warga berusia antara 70-74 mengidapnya.
Apa punca penyakit diabetes?
Diabetes adalah penyakit kronik yang berlaku apabila pankreas di dalam tubuh tidak lagi mampu menghasilkan insulin atau di mana tubuh tidak dapat menggunakan insulin yang dihasilkan secara berkesan.
Apa gunanya insulin? Insulin adalah sejenis hormon yang dihasilkan oleh pankreas di mana fungsinya adalah untuk membantu pemindahan glukos dari makanan di dalam saluran darah ke dalam sel dan tisu. Ini akan ditukarkan menjadi tenaga yang diperlukan.
Ketiadaan insulin atau tubuh yang tidak dapat menggunakan insulin secara berkesan akan menyebabkan paras glukos di dalam darah meningkat.
Jenis-jenis penyakit diabetes
Terdapat 2 jenis diabetes utama:
1. Jenis 1 – Insulin Dependent Diabetes (bergantung kepada insulin) adalah sejenis penyakit autoimun yang mana sistem pertahanan tubuh menyerang dan merosakkan sel-sel yang menghasilkan insulin. Ini akhirnya menyebabkan pankreas tidak lagi dapat menghasilkan hormon tersebut atau hanya menghasilkan dalam kadar yang sangat kecil.
Hanya 1 dalam 10 pesakit diabetes merupakan jenis 1 tetapi kerap berlaku pada usia muda termasuklah pada kanak-kanak. Pesakit diabetes jenis 1 perlu mendapatkan suntikan insulin setiap hari bagi sepanjang kehidupan mereka.
2. Jenis 2 – Non-Insulin Dependent Diabetes ( tidak bergantung kepada insulin) adalah jenis diabetes yang lebih biasa di kalangan pesakit diabetes. Walaupun ianya boleh berlaku terhadap sesiapa tidak mengira usia, kebiasaannya ia lebih kerap berlaku kepada orang dewasa. Ianya sering dikaitkan obesiti yang boleh menjadi punca rintangan insulin yang menyebabkan peningkatan paras gula dalam darah.
Ia merupakan penyakit senyap dimana ia selalunya dikesan secara tidak sengaja atau apabila setelah berlakunya komplikasi. Pesakit diabetes jenis ini boleh mengawal keadaan penyakit melalui pengamalan gaya hidup sihat. Termasuklah pemakanan yang sihat dan senaman. Walau bagaimanapun, dalam jangka masa panjang, pengambilan ubatan dan suntikan insulin mungkin diperlukan.
Faktor risiko diabetes
Bagi Diabetes Jenis 1, faktor risikonya masih kurang jelas. Namun risiko menghidapi penyakit ini adalah lebih tinggi sekiranya seseorang memiliki ahli keluarga yang menghidapinya.
Bagi Diabetes Jenis 2, faktor risiko yang menyebabkannya termasuklah:
- obesiti atau berat badan berlebihan
- pemakanan yang tidak sihat
- usia yang meningkat
- kurangnya aktiviti fisikal
- tekanan darah tinggi
- tahap kolestrol tinggi
- sejarah keluarga yang mempunyai diabetes
- Impaired glucose tolerance (IGT)
Komplikasi penyakit diabetes
Penyakit diabetes yang tidak dikawal boleh menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan. Ia amat membahayakan saluran darah, saraf, jantung, mata serta buah pinggang. Inilah puncanya penyakit-penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung, kegagalan buah pinggang, kehilangan penglihatan, kerosakan saraf yang boleh membawa kepada amputasi (pemotongan anggota badan).
Kami senaraikannya di sini:
1 Penyakit kardiovaskular – penyakit yang berkaitan dengan jantung dan salurannya. Kerana jantung adalah satu organ yang sangat penting dalam tubuh manusia, segala penyakit berkaitan dengannya adalah amat membahayakan. Ini termasuklah serangan jantung dan stroke.
2. Kegagalan buah pinggang – kira-kira 60% pesakit buah pinggang terdiri daripada penghidap diabetes. Kos bagi rawatan pesakit buah pinggang adalah amat tinggi. Menurut kajian yang dijalankan 10 tahun lalu, kerajaan menanggung kos kira-kira RM33,000 setahun untuk setiap pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis di hospital awam termasuk kos mesin cuci darah, alatan guna lupus, suntikan dan ubat-ubatan dengan purata melebihi RM200 setiap sesi rawatan (sumber: Utusan Melayu (M) Bhd).
3. Kehilangan penglihatan – retinopati diabetes berlaku apabila kerosakan pada salur darah retina yang disebabkan oleh diabetes. Ini akan menyebabkan berlakunya kebocoran lemak dan penyumbatan kapilari. Penghidap akan mula hilang penglihatan yang lama-kelamaan akan menyebabkan buta. Ianya dianggarkan bahawa setiap seorang dalam 3 penghidap diabetes mengalami keadaaan ini.
4. Kerosaka saraf dan amputasi – neuropati diabetes iaitu penyakit (pati) saraf (neuro) yang disebabkan oleh diabetes.  Ini menyebabkan kurang deria rasa pada sesetengah anggota terutamanya kaki. Apa yang lebih serius adalah penyakit arterial peripheral yang sering dihidapi pesakit diabetes yang mengurangkan aliran darah penghidap ke kaki. Ini melambatkan proses sembuh jika terdapatnya luka pada anggota tersebut dan tingkatkan risiko berlakunya jangkitan kuman. Ini sering membawa kepada amputasi anggota kaki di kalangan penghidap.
Beban penyakit diabetes
Sememangnya pesakit yang telah didiagnos dengan diabetes tidak mudah untuk mendapatkan perlindungan insurans. Malah kebanyakan syarikat insurans dan pengendali takaful akan terus menolak permohonan perlindungan daripada pemohon yang menghidap penyakit tersebut.
Ini bererti penghidap penyakit diabetes berisiko menghadapi kos perubatan yang tinggi bagi mana-mana jenis komplikasi yang disebabkan oleh diabetes. Dengan kadar purata inflasi perubatan tahunan pada 10% (12.7% dijangkakan pada 2017), kos rawatan bagi komplikasi ini dijangka melambung, seperti digambarkan di bawah (sumber The Star, 4 Oktober 2015).
Mengapa Pentingnya Perlindungan Insurans
Jawapannya kerana sebab-sebab berikut:
1. Risiko rakyat Malaysia terhadap diabetes yang sangat tinggi – yang berpunca dari pemakanan yang kurang sihat, pengambilan gula yang berlebihan, kurang senaman dan aktivati fisikal serta gaya hidup yang tidak dijaga. Usia yang semakin meningkat juga menjadi faktor risiko. 1 dalam 6-7 warga dewasa berisiko menghidapinya.
2. Komplikasi yang berkaitan dengan diabetes – bukanlah sesuatu yang ringan tetapi malangnya ia kerap berlaku. Ia melibatkan jantung, buah pinggang dan saraf yang boleh membawa kepada amputasi – iaitu organ-organ yang amat penting dan bukan sesuatu yang kita ingin pertaruhkan. Kos perubatan bagi komplikasi-komplikasi ini adalah amat tinggi. Mampukah kita untuk membiayai kos-kos ini? Cukupkah simpanan kita? Apakah beban lain yang ditanggung sekiranya simpanan tidak mencukupi?
3. Tidak lagi layak untuk dapatkan perlindungan insurans – sekiranya sudah menghidapi diabetes. Syarikat insurans dan takaful biasanya tidak akan menawarkan pelan perlindungan kepada penghidap diabetes kerana risiko mereka terhadap komplikasi-komplikasi disebutkan. Maka ianya adalah amat penting bagi seseorang yang masih sihat untuk dapatkan pelan perubatan. Sekiranya pemegang polisi menghidapi diabetes sesudah mendapatkan perlindungan perubatan insurans daripada sesebuah syarikat, maka syarikat itu akan terus melindungi beliau.
Apa yang boleh anda lakukan
1. 70% diabetes jenis 2 dapat dicegah dengan mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat.
2. Lakukan ujian darah secara lebih kerap untuk mengesan tanda-tanda awal diabetes. Pemeriksaan ujian saringan ini boleh dibuat di mana-mana klinik kesihatan di Malaysia sekurang-kurangnya sekali setahun.
3. Berbincang juga dengan wakil dan ejen insurans dan takaful untuk mendapatkan pelan perubatan yang terbaik, terutama sekiranya terdapat ahli keluarga yang pernah atau masih menghidapi diabetes.
Dapatkan nasihat ejen dan pakar takaful dan insurans dari direktori ejen dari seluruh Malaysia.
Untuk mendapatkan infografik tentang statistik dan kos perubatan di Malaysia, klik di sini.
Azua
Ogos 1, 2018 1:27 amSaya berminat untuk ketahui lebih lanjut berkenaan perlindungan insuran untuk pesakit kencing manis
Selina
Ogos 1, 2018 11:25 amHi Azua.
Boleh cuba link ini untuk maklumat tentang Allianz Diabetic Essential
https://ibanding.com.my/allianz-diabetic-essential-berikan-perlindungan-insurans-bagi-pesakit-diabetes/
foto hot
April 29, 2019 12:54 pmEmang mantap kontennya. Semangat min untuk sering-sering update.
saya diam-diam baca dan share tiap kontenmu lho.