Istilah takaful perubatan atau kad perubatan semakin kerap kedengaran terutama di laman web dan di media sosial. Terima kasih ke atas iklan oleh pengendali-pengendali takaful serta promosi ejen-ejen takaful yang tidak putus-putus. Mungkin sudah jemu kita melihatnya, tetapi ia tidak bererti ianya sesuatu yang harus kita abaikan.
Namun tetapi, pada hakikatnya masih ramai yang tidak mengambil endah tentang perlindungan takaful perubatan mahupun kepentingannya. Perlu kami ketengahkan di sini beberapa sebab mengapa takaful perubatan perlu diberi perhatian yang sewajarnya oleh semua individu.
Perlindungan takaful perubatan secara ringkas
Takaful perubatan memberikan perlindungan terhadap kos rawatan perubatan akibat sesuatu penyakit atau kemalangan. Ini bererti anda hanya perlu membayar premium bulanan atau tahunan bagi polisi takaful perubatan dan kos rawatan dan perubatan anda akan dibiayai oleh pelan takaful anda sekiranya anda didiagnosis menghidap penyakit tertentu atau cedera akibat kemalangan.
Kos yang ditanggung oleh takaful perubatan meliputi kos rawatan pembedahan, penginapan hospital, rundingan pakar, elaun hospital, ubat-ubatan dan sebagainya.
Perlindungan takaful perubatan biasanya boleh diambil secara berasingan (standalone) ataupun sebagai pelan tambahan yang digabungkan bersama pelan takaful keluarga (rider).
Untuk pemahaman yang lebih menyeluruh, sila rujuk Panduan Lengkap Kad Perubatan di Malaysia.
Beberapa kepentingan takaful perubatan yang tidak harus diabaikan:
1. Kos perubatan yang terus meningkat
Inflasi kos perubatan di negara ini meningkat pada kadar purata 10% setiap tahun. Ini hanya akan menyebabkan kos rawatan yang semakin meningkat. Sebagaimana yang kita sedari, sudah cukup berat bagi golongan pertengahan dan rendah masa ini untuk menabung secukupnya bagi persediaan persaraan. Sememangnya simpanan yang ada tidak dapat menampung perbelanjaan rawatan yang dijangka mencecah ratusan ribu malah jutaan ringgit menjelang tahun 2035.
Bersediakah kita untuk menampung kos perubatan yang sedemikian tinggi? Dengan adanya pelan perlindungan takaful perubatan, beban kos rawatan dipindahkan kepada pengendali takaful.
2. Risiko kemalangan dan penyakit yang tidak dapat dinafikan
Sering kita mendapat berita tentang rakan atau kenalan yang tidak bernasib baik. Sama ada mereka kemalangan atau menghidap penyakit secara tidak diduga. Kedua-dua ini boleh mengakibatkan seseorang itu hilang upaya serta hilang punca pencarian. Semakin ramai juga yang berusia di dalam lingkungan 30-an sudah mula menghidapi penyakit jantung. Ini semua adalah risiko yang tidak dapat kita nafikan.
Sebelum berlakunya musibah seperti ini, sebaik-baiknya kita melengkapi diri dengan perlindungan takaful perubatan yang dapat mengatasi masalah kewangan yang mungkin dihadapi. Bukan sahaja dari segi keperluan perbelanjaan rawatan, tetapi juga kos kehidupan harian individu serta keluarganya.
3. Jangka hayat penduduk yang semakin meningkat
Jangka hayat penduduk Malaysia semakin meningkat – daripada 72.1 tahun pada 2010 ke 74.8 tahun pada 2017! Pada tahun 2020 pula dijangka, purata jangka hayat bagi penduduk lelaki meningkat ke 75 tahun manakala wanita ke 79 tahun. Jangka hayat yang panjang dan tahap kesihatan yang mula merosot di usia tua bererti keperluan rawatan perubatan dan pergantungan terhadap penjagaan kesihatan yang lebih panjang tempohnya. Ini pula bermakna pertambahan kos bagi keperluan tersebut.
Tanpa perlindungan takaful perubatan, penduduk warga emas terpaksa menghabiskan duit simpanan persaraan bagi pembiayaan kos rawatan mereka.
4. Ikatan kekeluargaan yang kian lemah
Puan Rubayah Yakob, pensyarah di Program Perkhidmatan Kewangan dan Pengurusan Risiko, UKM, memberikan suatu persepsi yang tidak dapat kita nafikan. Menurut beliau, ikatan kekeluargaan yang semakin lemah membuatkan kita kini berdepan dengan budaya baru di mana ibu bapa yang uzur tidak lagi mendapat perhatian dan penjagaan anak-anak. Lain seperti dahulunya di mana tanpa ragu-ragu, anak-anak akan bertanggungjawab ke atas penjagaan dan keselesaan ibu bapa mereka.
Tiada lagi jaminan di hari tua bererti setiap individu perlu membuat persedian sendiri bagi menghadapi hari-hari setelah persaraan di mana tiada lagi punca pendapatan yang dapat menanggung sedikit-sebanyak kos rawatan.
5. Tempoh menunggu di hospital kerajaan
Tidak dinafikan hospital kerajaan sudah banyak penambahbaikan dan pembaharuan daripada segi perkhidmatan yang disediakan. Akan tetapi sudah tentu ia tidak sama seperti perkhidmatan yang didapati jika kita mengunjungi hospital swasta. Jauhnya perbezaan di antara taraf perkhidmatan kedua-duanya samalah juga dengan jauhnya perbezaan di antara caj yang dikenakan di antara mereka.
Dalam sebuah kajian yang dijalankan, 40%  daripada 358 responden menyatakan bahawa mereka pernah menunggu 4 jam untuk berjumpa doktor di klinik atau hospital kerajaan pada tahun 2017, dan hanya 8% yang menunggu kurang 1 jam. 2% pula hanya dapat berjumpa dengan doktor setelah menunggu selama 8 jam.
Tanpa takaful perubatan, individu tiada pilihan lain selain bertahan sakit sementara menunggu giliran mereka. Sudah banyak kali kita mendengar keluhan pesakit di mana mereka perlu menunggu selama berbulan-bulan untuk menjalankan pembedahan. Malah menurut kajian yang sama, 26% daripada responden mengatakan mereka telah meninggalkan niat untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan di dalam tahun 2017 kerana tempoh menunggu yang lama.
Berbagai alasan
Ramai yang masih berlengah-lengah dalam mendapatkan perlindungan takaful perubatan bagi diri mereka serta keluarga. Ramai juga yang sedari keperluannya tetapi tidak meletakkannya sebagai prioriti, dengan alasan tiada masa untuk mencari ejen, atau tiada masa untuk berjumpa ejen untuk berbincang.
Jika ini alasan anda, kami mudahkan kerja anda di sini:
- Ejen kini boleh dijumpa dengan mudah melalui direktori ejen takaful dan insurans. Dengan sistem nilai bintang dan ulasan oleh pelanggan sedia ada, anda dapat menilai sendiri mutu perkhidmatan ejen yang disenaraikan.
- Kad perubatan kini boleh didapati melalui langganan di talian (secara online). Kini dua syarikat telahpun menawarkan pelan perubatan standalone mereka di talian di mana kelulusan diberi serta merta. Jika tiada masa untuk berjumpa ejen, layari kedua laman ini untuk dapatkan pelan yang bersesuaian dengan anda.
- Untuk membuat perbandingan di antara pelan-pelan perubatan yang ditawarkan di Malaysia serta memahami lebih lanjut tentang kad perubatan, sila rujuk panduan lengkap kad perubatan di sini.
Leave a Comment