Pada bulan Julai tahun 2017, Bank Negara Malaysia telahpun melancarkan liberalisasi tarif (pemansuhan tarif) kadar insurans kereta di mana syarikat insurans dan pengendali takaful dibenarkan menetapkan harga produk insurans komprehansif masing-masing. Ini berlainan dengan sistem sebelumnya yang telah dipraktikkan di negara ini selama lebih 30 tahun di mana harga insurans kenderaan dikawal oleh BNM.
Berikutan pelaksanaan ini, hari ini tidak hairanlah jika syarikat-syarikat insurans mengenakan harga berlainan bagi kenderaan yang sama. Ini kerana syarikat kini memiliki keadah masing-masing dalam pengiraan kadar yang dikenakan. Ini menjadikan pentingnya perbandingan harga insurans sebelum membuat pembaharuan.
Dalam kajian iBanding baru-baru ini (Februari 2018), kami mendapati bahawa 45% daripada jumlah 7,000 pengguna mengatakan bahawa mereka tidak membuat bandingan ketika membeli produk insurans kereta. Manakala hanya 15% yang membandingkan harga daripada lebih 3 buah syarikat insurans dan takaful.
Potensi penjimatan diabaikan
Kajian ini agak mengecewakan memandangkan kajian terdahulu oleh iBanding yang dilakukan pada November 2017 mendapati perbezaan harga di antara insurans komprehensif yang terendah di pasaran berbanding yang tertinggi mencecah 24%.
Di bawah sistem liberalisasi tarif kadar insurans ini, lebih banyak syarikat yang kini menyediakan platform di talian untuk memudahkan pembelian dan pembaharuan produk insurans mereka. Pada bulan Oktober lalu, hanya terdapat tujuh syarikat yang menyediakannya. Tetapi kini telah pun melebihi 11 syarikat.
Di dalam sebuah kajian kami pada awal tahun ini, didapati tujuh daripada 11 syarikat itu menawarkan harga yang berbeza manakala empat yang lainnya menawarkan harga yang sama. Ini menunjukkan bahawa sesetengah syarikat sehingga kini masih menggunakan kadar lama dalam menentukan harga produk mereka.
Kualiti laman sesawang juga berbeza-beza. Takaful Malaysia, Etiqa, MSIG dan Tune menyediakan platform yang mudah digunakan bagi pembelian dan pembaharuan. Manakala pengguna terutama yang kurang mahir mungkin mengalami sedikit masalah membeli melalui platform Liberty, Berjaya Sompo, Axa Affin dan Takaful Ikhlas.
Bagaimana untuk membuat perbandingan harga?
Buat masa ini, tiada cara yang mudah dan efektif bagi pengguna membuat perbandingan harga bagi kesemua 26 syarikat insurans dan pengendali takaful di Malaysia, seperti laman agregator yang wujud di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat.
Apa yang anda boleh lakukan? Gunakan artikel ini sebagai panduan untuk dapatkan NCD kenderaan anda dan buat perbandingan harga seperti yang telah kami lakukan. Daripada keputusan yang kami dapati juga dapat membantu anda mengenal pasti beberapa syarikat yang mengenakan kadar yang lebih rendah.
Anugerah Syarikat Insurans dan Takaful Terbaik Malaysia
Setiap tahun iBanding menjalan kaji selidik untuk mendapatkan pendangan pengguna terhadap syarikat insurans kenderaan mereka dan pengalaman mereka terhadap layanan perkhidmatan yang diterima. Kaji selidik ini untuk mengenal pasti syarikat-syarikat yang terbaik berdasarkan pandangan dan pengalaman pengguna. Penarafan syarikat-syarikat insurans dan pengendali takaful di Malaysia yang dikeluarkan oleh kaji selidik ini diharap dapat membantu pengguna dalam keputusan mereka bagi memilih syarikat untuk memperbaharui polisi insurans dan takaful mereka.
Untuk maklumat lanjut tentang syarikat insurans dan takaful kenderaan yang memenangi anugerah bagi tahun 2018, juga penarafan setiap syarikat insurans dan takaful di Malaysia, sila rujuk laman ini.
Jika anda ingin membuat perbandingan harga insurans kenderaan, ini beberapa fakta yang perlu anda fikirkan :
1: Jumlah sum insured perlu selaras (jumlah perlindungan)
Sum insured adalah jumlah perlindungan kenderaan anda, iaitu jumlah yang ingin anda lindungi. Terdapat syarikat yang membenarkan pelanggan menginsuranskan kenderaan mereka mengikut jumlah pinjaman (sewa beli) kenderaan. Jumlah perlindungan adalah salah satu faktor utama dalam menentukan kadar harga insurans anda. Jadi ketika membuat perbandingan, pastikan anda membandingkan jumlah perlindungan yang serupa bagi setiap syarikat.
2: Waspada kos tersembunyi
Banyak syarikat yang mengenakan kos-kos tambahan melalui produk yang dipakejkan dengan polisi insurans yang ingin diperbaharui. Jika anda tidak peka anda mungkin membuat bayaran tanpa menyedari bahawa anda telahpun membeli pakej yang tidak diperlukan. Jadi hati-hati ketika membuat pembelian. Pastikan anda periksa dengan teliti apa yang terkandung di dalam pembelian anda.
3: Nikmati 10% diskaun
Ramai yang tidak sedari bahawa mereka dapat 10% diskaun jika memperbaharui/ membeli insurans kereta melalui sesawang syarikat insurans. Ini adalah kerana tiada kos ejen yang akan dikenakan. Di sini pengguna perlu berhati-hati, kerana sesetangah ejensi insurans seperi MyEG dan House of Insurans menyediakan platform tersendiri. Jika pempelian dan pembaharuan dibuat melalui mereka, 10% diskaun itu tidak lagi dapat dinikmati. Jadi pastikan anda membeli terus melalui sesawang syarikat dan pengedali takaful.
4: Adakah bersedia menghadapi proses tuntutan dengan sendiri?
Dengan kemudahan pembelian melalui platform di talian serta diskaun 10% yang dinikmati, pengguna juga perlu bersedia menghadapi dengan sendiri jika berlaku tuntutan. Tiada lagi bantuan dihulurkan oleh ejen. Jadi jika pengguna tidak mahir tentang insurans terutama proses tuntutan, mungkin wajar bagi mereka membeli melalui ejen yang sedia membantu.
5: Bandingkan mutu perkhidmatan
Kini dengan ketetapan harga insurans oleh syarikat masing-masing, syarikat insurans juga akan menyediakan mutu perkhidmatan yang berbeza-beza. Syarikat yang mengenakan harga insurans yang terendah mungkin tidak dapat memberikan layanan perkhidmatan terbaik yang setanding dengan syarikat yang mana harga produk mereka adalah tinggi. Samalah seperti syarikat penerbangan kos rendah yang tidak menyediakan makanan percuma di dalam pesawat berbanding syarikat penerbangan biasa.
Jadi semasa membuat perbandingan, perlulah fikirkan faktor-faktor selain daripada harga. Harga yang tinggi tidak semestinya bukan pilihan, kerana mutu perkhidmatan dan liputan tambahan mungkin berguna terutama sekali ketika berlakunya tuntutan akibat kemalangan atau kecurian.
Untuk mengetahui bagaimana liberalisasi tarif insurans memberi kesan kepada anda sebagai pengguna, ini video yang telah kami sediakan untuk anda.
Leave a Comment