Tanggal 1hb Julai 2017 adalah satu tarikh penting bagi industri insurans dan Takaful kenderaan di negara ini sempena pelaksanaan liberalisasi tarif insurans kenderaan. Ini adalah langkah yang besar di mana selama lebih 30 tahun harga insurans kenderaan dikawal oleh bank pusat – Bank Negara Malaysia. Liberalisasi tarif insurans kenderaan telahpun mengubah keadaan ini.
Apa itu liberalisasi tarif insurans kenderaan?
Sebelum pelaksanaan liberalisasi tarif, harga insurans kenderaan ditentukan oleh 2 faktor utama iaitu: saiz enjin kenderaan (cc) dan sum insured (harga yang diinsuranskan). Harga ini mengikut struktur tarif yang ditentukan dan dikawal oleh BNM. Hari ini, keadaan telah pun berubah semenjak pelaksanaan liberalisasi tarif berfasa yang dilaksanakan pada bulan Julai 2017 di mana tarif kenderaan ini telah pun dimansukkan.
Sistem pengiraan premium yang tidak adil
Sistem tarif terdahulunya sememangnya memberi kelebihan dan juga keburukan terhadap pengguna di Malaysia. Berikut beberapa sebab mengapa liberalisasi tarif diperlukan dan bagaimana ianya boleh memberikan faedah kepada pengguna:
1. Pemandu berisiko rendah vs pemandu berisiko tinggi
Di dalam pasaran bertarif (sebelum pelaksanaan liberalisasi tarif), harga insurans tidak mengambil kira faktor sikap pemandu dan pengurusan risiko pemandu. Ini bererti pemandu cermat yang patuhi undang-undang jalanraya dan tidak pernah membuat sebarang tuntutan insurans dikenakan bayaran yang sama dengan pemandu berisiko tinggi yang melanggar peraturan jalanraya dan pernah melakukan tuntutan terhadap insuransnya – selagi kenderaan mereka mempunyai saiz enjin dan jumlah diinsuranskan yang sama.
Ini digambarkan di bawah (Sumber: BNM).
2. Model kenderaan berisiko tinggi vs model kenderaan berisiko rendah
Gambarajah di bawah oleh Vehicle Theft Reduction Council Malaysia menunjukkan 10 model kenderaan teratas yang sering dicuri dalam tahun 2016 di negara ini.
Dari tahun 2011 hingga 2016, syarikat-syarikat insurans dan Takaful telah pun membayar lebih RM 2.8 bilion bagi tuntutan kecurian.
Kerana harga insurans telah pun ditetapkan mengikut tarif, syarikat insurans danpengendali Takaful tidak dapat mengenakan harga yang lebih tinggi terhadap model kenderaan yang cenderung kepada kecurian.
Ini menghasilkan keadaan di mana semua model kenderaan di mana saiz enjin dan sum insured yang sama dikenakan harga insurans yang sama, walaupun sesetengah darinya lebih kerap dicuri. Contohnya Toyota Vellfire dan Toyata Alphard.
Setelah pelaksanaan liberalisasi tarif, syarikat insurans kini boleh mengenakan harga yang lebih tinggi bagi model yang sering dicuri seperti Toyota Vellfire, dan harga yang lebih rendah seperti Toyota Alphard.
Kerugian bagi pemandu risiko rendah di dalam pasaran bertarif
Kerana harga insurans yang telah ditetapkan oleh tarif dalam kedua-dua sinario dia atas, apa yang ketara adalah:
1. Pemandu cermat yang berisiko rendah membayar harga yang sama bagi insurans kenderaan mereka seperti pemandu lalai yang berisiko tinggiÂ
2. Model kenderaan berisiko rendah dikenakan harga insurans yang sama seperti model kenderaan berisiko tinggi yang menjadi sasaran pencuri.
Ini telah menimbulkan keperluan subsidi silang yang ketara. Di mana pemandu berisiko rendah terpaksa menanggung beban yang disebabkan oleh pemandu lalai. Di sebuah pasaran yang adil, pemandu sepatutnya membayar mengikut tahap risiko masing-masing.
Liberalisasi tarif insurans kenderaan: Faktor risiko yang diperluaskan memberi ganjaran kepada pengurusan risiko yang baik
Setelah pelaksanaan liberalisasi tarif, syarikat insurans dan pengendali Takaful kini bebas dalam menentukan cara mereka mengira dan menentukan harga bagi produk insurans mereka. Pemansuhan tarif ini telah mewujudkan sistem harga yang lebih adil di mana pemandu selamat dengan pengurusan risiko yang baik diberikan ganjaran harga insurans yang lebih rendah.
Kini lebih dari 2 faktor menentukan harga insurans kenderaan yang mengambil kira profil risiko pemegang polisi. Ini dikenali sebagai risk-based pricing.
Gambarajah di bawah yang disediakan oleh BNM menunjukkan faktor-faktor yang menentukan harga insurans. 2 faktor berwarna merah adalah yang digunapakai di pasaran bertarif sebelum ini. Ini diikuti dengan 3 faktor berwarna oren yang juga mempengaruhi harga insurans.
- Loading: Syarikat insurans dibenarkan menaikkan harga insurans sebanyak tidak lebih 15% dari harga premium bagi sebab loading. Contoh loading adalah kenderaan tua dan pemandu muda.
- NCD: Diskaun yang diberi semasa pembaharuan polisi jika tiada tuntutan dibuat pada 12 bulan tempoh polisi sebelumnya.
Liberalisasi tarif insurans kenderaan memperkenalkan beberapa faktor baru yang digunakan dalam menentukan harga insurans. Seperti yang ditunjukkan di dalam gambarajah di atas yang berwarna biru.
- Model kenderaan: Seperti yang dinyatakan di atas, sesetengah model kereta lebih cenderung kepada kecurian berbanding model lain. Kini, model kenderaan sebegini dikenakan harga insurans yang lebih tinggi.
- Pengalaman memandu: Pemandu yang mempunyai pengalaman memandu yang lebih lama dianggap berisiko rendah berbanding pemandu yang baru mula memandu. Kini, pemandu yang telah lama memandu akan dikenakan kadar insurans yang lebih rendah.
- Sikap pemandu: Pemandu-pemandu yang memandu dengan selamat dan tidak mempunyai rekod kesalahan lalu lintas dianggap berisiko rendah. Maka mereka menikmati kadar insurans yang lebih rendah berbanding pemandu yang banyak melakukan kesalahan.
- Ciri-ciri keselamatan: Kenderaan yang memiliki ciri-ciri keselamatan tambahan dianggap lebih selamat dan berisiko lebih rendah terhadap kecurian. Kenderaan seperti ini dikenakan kadar insurans yang lebih rendah.
Dengan harga berdasarkan profil risiko, pemegang polisi/ pemandu kini boleh mengharapkan kadar harga insurans kenderaan yang lebih adil.
Peranan pengguna
Dengan adanya sistem harga yang bergantung kepada risiko pemegang polisi, kini pengguna mempunyai lebih kuasa untuk menentukan harga insurans kenderaan mereka sendiri. Pengguna boleh melakukan beberapa perkara seperti di bawah untuk mengawal harga insurans mereka:
1. Pastikan keselamatan kenderaan bagi elakkan kecurian. Letakkan kenderaan di kawasan yang selamat, pasangkan alat pencegahan kecurian seperti immobilizer dan kunci tambahan.
2. Pandu dengan cermat dan selamat serta elakkan melakukan kesalahan lalulintas.
3. Bandingkan produk yang ditawarkan oleh beberapa syarikat insurans dan Takaful dan juga bandingkan harga mereka. Produk perlulah mengikut keperluan, manakala harga perlulah bersesuaian dengan skop perlindungan dan bajet masing-masing.
Direktori Ejen Insurans dan Takaful
Untuk membandingkan harga insurans kenderaan anda, gunakan direktori ejen insurans dan hubungi ejen-ejen dari syarikat insurans dan Takaful berlainan yang berdekatan dengan anda.
Leave a Comment