Sebanyak 100,000 rakyat Malaysia menghidap penyakit kanser setiap tahun. Dan ia dijangkakan setiap seorang dalam 4 orang rakyat akan menghidap penyakit ini sebelum mereka mencecah umur 75 tahun. Angka ini sangat menakutkan apatah lagi jika dilihat kadar inflasi perubatan di negara ini yang puratanya 10% setiap tahun. Kerana faktor-faktor ini kami di sini sentiasa menyarankan agar setiap individu membeli takaful perubatan. Dan jika anda sedang memikirkannya, atau ingin memperbaharui polisi anda tidak lama lagi, baca dahulu artikel ini.

 

Nak beli takaful perubatan? Di sini beberapa perkara yang perlu anda lakukan:

Lakukan ini: Kenal pasti dahulu keperluan anda

Mulakan dengan rekod atau sejarah perubatan keluarga anda dan penyakit pra-wujud anda sendiri. Kemudian teliti pula gaya hidup dan tabiat anda (contoh, adakah anda perokok). Ramai di antara kita sedar akan risiko yang kita miliki tapi ramai pula yang tidak mahu memikirkan perkara yang menyedihkan lagi merunsingkan ini. Tapi memandangkan anda sudahpun memutuskan untuk membeli takaful perubatan, lebih baik anda hadapi kenyataan tentang risiko-risiko yang anda miliki dan mungkin hadapi untuk benar-benar memahami keperluan anda.

 

Lakukan ini: Perbandingan polisi, syarikat takaful dan ejen

Setelah anda mengenal pasti keperluan anda, mula buat sedikit research atau penyelidikan tentang produk atau polisi yang sesuai dengan keperluan dan bajet anda. Ramai antara orang kita yang ada tabiat negatif di mana mereka malas nak berbuat demikian dan hanya bergantung kepada satu ejen untuk mengesyorkan polisi untuk mereka. Jangan! Sebaliknya, jumpa dua, tiga, empat ejen, atau seberapa ramai yang diperlukan sehingga anda berjumpa dengan seorang yang betul-betul anda suka, yang juga menjual polisi yang sesuai dari syarikat yang anda percayai.

 

beli takaful perubatan

Temui beberapa ejen dan bandingkan pelan dari lain-lain syarikat.

 

Lakukan ini: Ketahui apa yang dilindungi dan apa yang tidak dilindungi

Ketika memilih polisi, fahami apa yang dilindungi dan apa yang tidak dilindungi. Polisi insurans banyak syarat dan termanya, jadi jangan ambil ringan jika ada sesuatu yang anda kurang faham. Jangan sampai setelah beli polisi perubatan baru anda sedar bahawa ada sesuatu kos yang tidak dilindungi oleh pelan anda. Ramai yang terkejut dan kecewa semasa di hospital apabila mereka dapat tahu mereka tidak dapat buat tuntutan terhadap sesuatu kos. Akhirnya mereka menyalahkan ejen mereka dengan alasan tidak jujur semasa menjual polisi tersebut. Jangan begitu, ianya tanggungjawab kita sebagai pembeli untuk betul-betul memahami produk sebelum membeli.

 

Lakukan ini: Fahami bahawa takaful adalah sesuatu yang tidak nyata/ tangible

Masih ramai yang memandang rendah kepentingan takaful perubatan. Mereka menganggap ianya tidak perlu. Ramai yang memilikinya pula, apabila keadaan kewangan mereka menjadi terdesak, mereka berhenti membayar premium takaful mereka. Apa yang kita perlu fahamkan ialah takaful bukanlah sesuatu yang kita beli dan “nikmati”. Bukan seperti baju atau handphone baru. Takaful adalah suatu jaminan yang kita beli untuk perlindungan kita di masa kita memerlukan perlindungan. Seperti payung yang kita simpan di dalam bilik stor kita yang kita hanya kita keluarkan pada hari hujan. Seperti tayar spare di dalam kereta kita. Jaring sekali kita memerlukannya, tapi kita tetap usungnya ke mana saja kita pergi kan?

 

Payung diperlukan ketika hujan. Takaful pula diperlukan ketika berlakunya musibah.

 

Nak beli takaful perubatan? Di sini pula beberapa perkara yang perlu anda elakkan:

Elakkan ini: Bertindak terburu-buru

Setelah anda temui pelan yang sesuai dengan keperluan dan bajet anda, jangan pula terburu-buru menurunkan tandatangan anda. Ambil masa agar anda betul-betul faham segalanya tentang pelan takaful anda. Duduk dengan ejen anda dan tanya 1001 soalan, dari terma dan syarat, hinggalah ke proses tuntutan, nombor kecemasan dan lain-lain. Inilah tugas ejen anda. Ingat, anda bayar komisennya. Jika anda berbuat begini, bukan saja anda akan jadi mahir dengan pelan anda, anda juga dapat menilai betapa sabar dan cekap ejen anda.

 

Elakkan ini: Berlengah kerana anda “masih muda”

Umur tidak menentukan kesihatan. Ada beberapa sebab mengapa anda tidak boleh berlengah dalam membeli takaful perubatan. Pertama, premium takaful perubatan lebih murah jika dibeli ketika usia muda. Kedua, pada usia tua, risiko anda menghidap penyakit adalah lebih tinggi. Penyakit ini bukan sahaja akan menaikkan harga premium takaful perubatan anda, tetapi juga ianya mungkin akan dikecualikan daripada pelan perlindungan anda. Ertinya, syarikat takaful mungkin tidak akan melindungi penyakit anda yang sedia ada ini. Jika anda beli takaful pada usia muda daripada sesuatu syarikat, rekod kesihatan anda mungkin masih bersih (tiada penyakit), jika anda menghidap penyakit kemudian hari, syarikat berkenaan tidak lagi boleh mengecualikan penyakit itu dari pelan anda.

 

Beli takaful perubatan

Muda tidak bererti sihat.

 

Elakkan ini: Sembunyikan fakta penting

Tiada apa yang lucu dengan perkara ni. Ramai yang rasa mereka boleh berbuat demikian tanpa disedari oleh syarikat takaful atau insurans. Syarikat takaful bukanlah sejahil yang anda fikirkan. Malah mereka amat cekap. Jika tindakan anda ini diketahui mereka, bukan saja mereka akan menolak tuntutan anda, tetapi anda juga mungkin disaman oleh syarikat takaful anda atas segala tuntutan yang mereka telah bayar sebelumnya. Anda berani?

 

Jangan cuba sembunyi fakta penting!

 

Elakkan ini: Beli jika tidak pasti

Polisi tak jelas? Jangan beli. Ejen anda macam tak sebulu dengan anda? Jangan beli. Rasa kurang senang dengan segalanya? Sekali lagi, jangan beli! Ada beribu ejen di luar sana. Kalau anda tak puas hati dengan ejen anda, cari yang lain. Nak ejen yang cekap? Cari melalui direktori ini. Jikalau anda tak rasa polisi anda sesuai dengan kemahuan dan keperluan anda, atau termanya tidak jelas, cari pelan lain. Banyak lagi syarikat takaful dan produk yang ditawarkan. Anda ada banyak pilihan. Jangan beli ikut suka hati semata-mata hendak cepat dan mudah!