Lain-lain perkara penting yang perlu anda ketahui mengenai kad perubatan:
Had seumur hidup
Ini adalah jumlah maksimum yang akan dibayar oleh syarikat insurans anda bagi tuntutan terhadap kos perubatan sepanjang hayat anda. Pelan perubatan akan tamat secara otomatik sekiranya manfaat pelan yang dibayar telah mencapai had seumur. Terdapat juga produk perlindungan perubatan yang tiada had seumur hidup (unlimited lifetime coverage), terutamanya bagi pelan standalone.
Had tahunan
Ini adalah jumlah maksimum yang bagi tuntutan perubatan yang dibuat untuk satu tahun polisi. Ia mungkin serendah RM10,000 setahun. Setelah tuntutan dibayar bagi sesuatu tahun mencapai had tahunan, pemegang polisi tidak lagi boleh membuat tuntutan bagi tahun itu. Ini bererti segala kos perubatan bagi tahun itu perlulah ditanggung sendiri.
Premium
Premium adalah bayaran yang perlu anda buat kepada syarikat insurans untuk mendapatkan pelan perlindungan insurans. Bayaran biasanya dibuat secara berkala – sama ada setiap bulan, setiap 3 bulan, atau setiap tahun.
Deductible
Deductible adalah umlah yang anda perlu bayar bagi rawatan perubatan sebelum boleh membuat tuntutan terhadap pelan perubatan anda. Untuk menggambarkannya:
Deductible pelan insurans perubatan Lisa: RM 1,000.
Lisa mengalami kecederaan, kos pembedahannya sebanyak RM 3,000.
Lisa perlu membayar RM 1,000 (deductible).
Syarikat insurans pula membayar RM 2,000.
Insurans bersama (ko-insurans)
Ini adalah jumlah (biasanya dalam peratusan seperti 10%, 20% dll) daripada jumlah kos perubatan yang anda perlu tanggung sendiri. Syarikat insurans tidak akan membayar jumlah ini sebagai pampasan.
Contohnya:
Insurans bersama pelan perubatan Lisa adalah 10%.
Lisa mengalami kecederaan, kos pembedahan Lisa ialah RM 3,000.
Lisa terpaksa membayar RM 300 (10% daripada RM3,000).
Syarikat insurans pula akan membayar RM 2,700.
Sesetengah pelan mengandungi kedua-dua deductible dan insurans bersama, sebagai contoh:
Lisa membeli sebuah pelan perubatan dengan RM 1,000 dengan 10% insurans bersama. Setelah dimasukkan ke hospital untuk rawatan denggi, jumlah kos perubatannya ialah RM 5,000.
Deductible: Lisa membayar RM 1,000
Insurans bersama: Lisa membayar RM 400 (RM 4,000 x 10%)
Syarikat insurans membayar RM 3,600 (RM 4,000 – RM 400)
Jumlah perlu dibayar Lisa ialah RM 1,400.
Hospital panel
Ini adalah senarai hospital yang bekerjasama dengan syarikat insurans anda bagi pelan perubatan anda. Kerjasama ini membolehkan kemasukan ke hospital secara mudah dan cepat. Pada kebiasaannya, rawatan tanpa tunai boleh didapati di hospital panel di mana hospital akan menuntut bayaran rawatan terus daripada syarikat insurans anda. Sebelum membuat pilihan pelan yang anda mahukan, semak dahulu senarai hospital panel untuk pastikan hospital-hospital panel pelan tersebut adalah bereputasi tinggi dan berdekatan dengan anda.
Pemeriksaan kesihatan
Bergantung kepada pelan dan umur pemohon, pemeriksaan perubatan mungkin tidak diperlukan. Contohnya, seorang pemohon berusia 25 tahun yang berisiko rendah mungkin tidak perlu mengemukakan laporan perubatan, manakala pemohon yang berusia 55 tahun mungkin dikehendaki berbuat demikian kerana risiko penyakit beliau yang lebih tinggi. Sama juga seperti seorang pemohon yang merokok berbanding yang tidak merokok.
Jaminan pembaharuan
Bergantung kepada jenis pelan perubatan, anda mungkin perlu memperbaharui pelan anda setiap tahun (seperti pelan standalone). Sesetengah pelan memberi jaminan bahawa pembaharuan akan diberikan ketika permohonan untuk meneruskan pelan dibuat oleh pemohon. Walau bagaimanapun, ada juga pelan yang tidak memberi jaminan pembaharuan, sekiranya pemohon menghidapi penyakit dan pernah membuat tuntutan terhadap pelannya bagi tempoh terdahulu.
Walaupun pelan perubatan rider tidak memerlukan pembaharuan tetapi ia akan tamat secara otomatik apabila had seumur hidup telah dibayar sepenuhnya oleh syarikat insurans.
Tiada jamin pembaharuan
Seperti yang disebut di atas, bagi sesetengah pelan, pembaharuan tidak dijamin oleh syarikat insurans. Ini bererti syarikat insurans mempunyai hak untuk menolak permintaan memperbaharui pelan perubatan daripada pelanggan, terutamanya jika dia telah menghidap penyakit dan telah mendapatkan rawatan bagi penyakit tertentu semasa dilindungi pelan perubatannya.
Tempoh menunggu
Juga dikenali sebagai tempoh kelayakan. Ini adalah bilangan hari pemohon perlu menunggu sebelum dia mula dilindungi oleh pelannya. Bagi kos perubatan akibat penyakit yang baru didiagnosis, biasanya 3 hingga 6 bulan selepas penubuhan polisi.
Tempoh melihat percuma
Ini adalah bilangan hari yang anda boleh tunggu sebelum membuat keputusan untuk membatalkan polisi anda selepas penubuhannya dan akan menerima bayaran balik penuh premium anda (selepas menolak perbelanjaan pentadbiran dan lain-lain).
Pendedahan sepenuhnya
Untuk memohon insurans perubatan, anda mesti memberikan butiran peribadi penuh berkaitan dengan risiko yang terlibat. Ini mungkin termasuk keadaan yang sedia ada, penyakit yang lalu, kebiasaan merokok, pekerjaan, hobi dan sejarah perubatan keluarga. Sekiranya maklumat yang tidak didedahkan atau ketidaktepatan ditemui, penanggung insurans mempunyai hak untuk menolak sebarang tuntutan yang dibuat.
View Comments
The benefit of taking insurans during 20s