Kuala Lumpur: Kini pemilik kad Petronas Mesra boleh miliki pelan perlindungan kemalangan peribadi dengan hanya RM1 sebulan.

Petronas Dagangan Berhad (PDB), Zurich General Insurance Malaysia Berhad (ZGIMB) dan Shieldcard Holdings Sdn Bhd (Shieldcard) telah menjalin kerjasama strategik dalam menawarkan perlindungan Kemalangan Diri Mesra (PA) khas untuk pemegang kad Mesra Petronas.

Pemegang kad Mesra kini boleh menukarkan mata ganjaran Mesra untuk menikmati Pelan PA Mesra dengan hanya RM1 iaitu bersamaan 100 mata ganjaran Mesra apabila mereka berbelanjakan minimum RM100 sebulan di mana-mana stesen Petronas di seluruh negara.

Pelan PA Mesra memberikan jaminan perlindungan kemalangan diri di serata dunia serta bayaran hospital harian sebanyak RM50 sehari bagi tempoh maksima 30 hari, menurut Ketua Bahagian Perniagaan Runcit PDB Aadrin Azly.

Bagi kes kematian atau hilang upaya diri pula, pemegang kad Mesra yang terbabit kemalangan, keluarga dan waris terdekat layak menerima pampasan wang tunai sehingga RM25,000 dan meningkat sehingga RM50,000 sekiranya kejadian berlaku pada hari cuti am yang diwartakan kerajaan.

“Pemegang kad yang ingin mendaftar Pelan PA Mesra akan dihubungkan dengan laman web khas bagi tujuan pendaftaran dan mereka yang mendaftar sebelum 28 Februari akan menerima faedah PA Mesra secara percuma pada bulan pertama,” menurut Aadrin lagi.