Di bawah inisiatif Perlindungan Tenang (PT) yang dilancarkan oleh Bank Negara Malaysia di bulan November tahun 2017, kini pelan perlindungan boleh dimilik dengan caruman serendah RM33 setahun.

Setakat ini sudah terdapat sepuluh pelan mampu milik di bawah PT yang diharapkan dapat memberi peluang kepada lebih ramai rakyat untuk dapatkan perlindungan diri juga bagi keluarga.

Inisiatif yang menekankan tiga kriteria iaitu mampu milik, mudah diakses dan mudah difahami ini memberi fokus terutama kepada golongan B40 iaitu di mana pendapatan isi rumah bawah 40%.

Encik Toi See Jong, Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) berkata, produk di bawah PT itu dibangunkan pengendali insurans dan takaful di Malaysia bagi meningkatkan kemampuan dan akses terhadap produk perlindungan.

“PT juga disasarkan kepada lebih daripada lapan juta rakyat Malaysia yang bekerja dan 700,000 perusahaan kecil yang akan membantu kerajaan dalam mengurangkan jurang perlindungan dan memastikan 75% populasi mendapatkan perlindungan insurans dan takaful menjelang 2020,” kata beliau lagi.

 

Sepuluh pelan yang sudahpun diperkenalkan di bawah inisiatif PT ini merangkumi 6 produk insurans hayat, 3 produk takaful dan 1 pelan insurans am.

“Untuk industri insurans hayat, LIAM menjalin kerjasama rapat dengan BNM dan enam lagi syarikat terbabit untuk mewujudkan pelan itu dan kami menjangkakan lebih banyak syarikat akan melancarkan produk di bawah inisiatif PT dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” tambah Toi See Jong.