Syarikat Takaful Malaysia Bhd baru-baru ini telah mencatatkan rekod keuntungan bersih bagi tahun kewangan berakhir Disember 31 tahun lepas dengan keuntungan selepas cukai serta zakat sebanyak RM205.1 juta.

Ini adalah peningkatan sebanyak 18% berbanding jumlah keuntungan yang diperoh tahun lepas iaitu sebanyak RM174.5 juta.

Menurut Datuk Seri Mohamed Hassan Kamil, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, ini merupakan kali pertama keuntungan kumpulan melebihi RM200 juta semenjak penubuhan syarikat itu dan telah pun melepasi sasarannya..

“Kedudukan yang cemerlang ini merupakan kejayaan penting bagi kumpulan memandangkan kami secara konsisten mencatatkan peningkatan keuntungan bersih, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 27 peratus, sejak memulakan Program Transformasi pada 2009.

“Pulangan  bersih ke atas ekuiti  mencatatkan 26.7 peratus berbanding 24.9 peratus yang dilaporkan pada tahun kewangan 2016, iaitu pulangan ekuiti tertinggi (ROE) dalam kalangan  semua Syarikat Berkaitan Kerajaan,” kata beliau lagi.

Kumpulan itu membuat pelaburan besar dalam peralatan, aplikasi dan teknologi baharu untuk meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman pelanggan menerusi strategi digitalnya, dan terus membangunkan hubungan bancassurance yang kukuh dengan pelbagai rakan bank, menerusi  pengenalan penyelesaian produk baharu untuk meningkatkan kadar pertumbuhan dan kekal di hadapan.