Apakah barang yang anda anggap paling penting ketika bercuti di luar negara? Mungkin sebulat suara kita akan mengatakan bahawa passport sebagai barangan yang terpenting. Kita semua pernah alami panik sambil meraba-raba depan belakang poket seluar atau menyelongkar beg tangan untuk pastikan passport ada bersama kita ketika perjalanan ke lapangan terbang.


Selain passport, telefon bimbit, wang ringgit dan kad kredit juga sangat penting, terutama ketika berada di luar negara. Jika mana-mana barangan ini hilang semasa di negara sendiri, masih ada peluang untuk mendapatkannya semula. Mungkin ada yang ikhlas memulangkannya, atau kita sendiri boleh berpatah balik ke tempat kita syaki tertinggalnya barangan tersebut. Tetapi ketika di luar negara, peluang sebegini agak tipis. Kehilangan barangan ini bukan sahaja melibatkan kerugian wang ringgit, malah banyak masalah yang akan timbul akibatnya.

Merancang percutian di luar negara bukan sesuatu yang mudah terutama bagi yang jarang-jarang yang melakukannya. Banyak yang perlu difikirkan dan segalanya perlu diatur rapi. Jadi tidak hairanlah jika kita terlepas pandang sesuatu perkara dalam sibuk membuat perancangan.

Jika anda merancang untuk ke luar negara tidak lama lagi, ini beberapa peringatan bagi memastikan keselamatan barangan kepunyaan peribadi anda.

 

Passport, beg, telefon bimbit, duit, kamera. Pastikan barangan selamat ketika bercuti di luar negara.

Pastikan barangan peribadi anda selamat ketika bercuti – 5 tip mudah

1. Sentiasa berwaspada

Berwaspada bukanlah suatu sifat semulajadi yang wujud dalam semua manusia. Mereka yang berjaga-jaga pastikan bahawa mereka sentiasa fokus terhadap setiap perlakuan mereka. Contohnya, pernahkah anda menggelabah mencari passport anda hanya 2 minit setelah terlepas daripada kaunter imigresen? Mungkinkah minda anda ketika itu sibuk memikirkan arah mana yang perlu dituju untuk ke balai pelepasan anda, sehinggakan tidak sedar bahawa passport telah pun anda masukkan ke dalam poket jaket. Ingat, sentiasa tumpukan perhatian terhadap setiap perlakuan anda.

2. Simpan barangan penting pada diri anda

Salah satu tempat yang paling selamat bagi barang peribadi seperti telefon, passport dan dompet adalah di dalam poket di sebelah dalam jaket. Jika tidak minat memakai jaket, beg pinggang atau beg selempang juga berguna. Yang penting di sini ialah dalam memastikan barangan penting ini dekat pada tubuh sendiri dan tidak mudah disamun.

3. Pilih hotel dan lokasi selamat

Sering kali ketika kita membuat tempahan hotel penginapan, kita hanya pentingkan bilik yang cantik dan permandangan yang indah. Tetapi kita terlepas pandang komen pengunjung lain tentang keselamatan hotel dan lokasi hotel yang ingin dipilih. Jadi pastikan dalam membuat pilihan, kita pentingkan juga aspek keselamatannya serta lokasinya. Jika hanya mampu menempah hotel yang kurang dari segi keselamatan, pastikan anda tidak membawa apa-apa barangan yang berharga semasa bercuti di sana.

4. Bawa hanya yang perlu

Jangan bawa terlalu banyak wang bersama anda. Gunakan kad kredit atau debit jika boleh. Tinggalkan barangan berharga seperti barang kemas di rumah. Jika anda miliki lebih dari satu kad kredit, jangan bawa semuanya. Hanya bawa satu atau maksima dua keping. Dan pastikan anda pisahkan kad kredit dan wang kepada dua pecahan. Satu simpan di dalam dompet seperti biasa, satu lagi tinggal di peti keselamatan di hotel atau di dalam poket tersembunyi pada jaket.

5. Elakkan jadi mangsa penipuan

Ilmu memperkasakan kita. Ketika membuat perancangan tentang tempat-tempat yang ingin
dilawati ketika di destinasi percutian, jangan pula lupa untuk mempelajari serba-sedikit tentang teknik penipuan yang sering digunakan terhadap pelancong.

Ingat, mereka ini memang sudah cekap dan ramai yang terpedaya dengan tektik mereka. Jika kita tidak sedari akan modus operandi mereka, dengan mudahnya kita juga akan menjadi mangsa.

Luangkan sedikit masa membaca artikel atau menonton video tentang teknik yang biasa digunakan.

6. Dapatkan insurans perjalanan

Tidak kiralah bagaimana berhati-hatinya kita, kadang kala kecelakaan tidak dapat dielakkan. Walaupun insurans tidak dapat menjamin keselamatan barangan anda, tetapi ia dapat mengurangkan risiko kewangan sekiranya anda kehilangan barangan ini atau sekiranya ianya dicuri.

Kehilangan barangan-barangan penting dan berharga ini tidak semestinya bererti anda perlu kerugian wang ringgit. Jadi ketahui bagaimana insurans perjalanan dapat membantu dari segi kos penggantian barangan yang hilang ketika percutian.

Insurans perjalanan melindungi barangan kepunyaan peribadi

Insurans perjalanan memberi pampasan terhadapan barangan kepunyaan peribadi yang hilang atau dicuri semasa bercuti. Barangan seperti telefon bimbit, kamera digital dan jam tangan boleh menelan belanja beribu ringgit untuk diganti. Manakala usaha untuk dapatkan permit sementara sekiranya kehilangan passport adalah rumit, menyusahkan dan membuang masa, serta juga merugikan wang ringgit kita.

Apa yang dilindungi insurans perjalanan anda:

1. Dokumen perjalanan

Kehilangan dokumen perjalanan seperti passport atau visa ketika anda berada di luar negara bererti anda terkandas di negara tersebut tanpa boleh keluar darinya mahupun pulang ke negara sendiri. Untuk kembali ke tanahair, anda perlu dapatkan permit perjalanan sementara.

Sekiranya anda kehilangan passport semasa di luar negara, ini langkah-langkah yang perlu diambil:

 

Apa yang perlu anda lakukan sekiranya kehilangan passport ketika di luar negara:

Langkah 1: Buat laporan polis
Langkah 2: Ziarahi kedutaan atau konsulat  Malaysia yang terdekat (dapatkan lokasi di sini). Apa yang perlu dibuat sekiranya tiada kedutaan atau konsulat di negara di mana anda berada ketika kehilangan passport? Telefon kedutaan di negara lain yang terdekat dan dapatkan arahan seterusnya daripada mereka.
Langkah 3: Di kedutaan Malaysia, buat permohonan sijil perjalanan sementara. Anda perlu sediakan dokumen penting seperti sijil beranak, laporan polis, MyKad, gambar, mungkin juga tiket kapalterbang dan sebagainya. 
Langkah 4: Sijil perjalanan sementara mungkin memakan masa 3 hingga 5 hari, jadi di sini anda mungkin terpaksa menangguhkan perjalanan anda seterusnya serta memanjangkan hari penginapan di hotel anda).
Langkah 5: Setelah selesai segalanya dan anda selamat pulang ke tanahair, jangan lupa untuk menziarahi pejabat imigresen untuk menggantikan sijil perjalanan sementara dengan passport kekal yang baru.

 


Insurans perjalanan tidak dapat memastikan keselamatan passport anda, tetapi ia membantu anda dari segi kewangan ketika mendapatkan sijil perjalanan sementara. Kos seperti tambang ke kedutaan, panggilan telefon ke tanahair dan kos fax atau pencetakan dokumen penting, serta penginapan di hotel akan ditanggung oleh syarikat insurans.

Contohnya bagi Travel Partner oleh Tokio Marina, pampasan sebanyak RM5,000 diberikan untuk tujuan ini.

2. Kecurian wang ringgit

Walaupun kini sudah terdapat banyak kaedah pembayaran tanpa tunai seperti kad kredit, SamsungPay, Alipay dan sebagainya, wang tunai masih diperlukan terutamanya ketika melancong ke negara yang kurang maju. Tetapi ini menjadikan kita sasaran penyeluk saku yang lebih cenderung terhadap mereka yang membawa banyak wang tunai. Selalunya, teknik licik mereka sukar disedari dan walaupun kita berhari-hati.

Insurans perjalanan juga akan memberikan pampasan terhadap kes sebegini. Contohnya, Tokio Marine memberikan RM 750 manakala Allianz pula memberikan RM 800 jika berlaku kecurian wang. Cuma perlu ingat untuk melaporkan kepada polis dengan segara untuk membolehkan anda membuat tuntutan insurans.

 

3. Barangan peribadi

Barangan peribadi termasuklah telefon bombit, kamera, pakaian, kasut dan sebagainya. Jika barangan peribadi anda dicuri ketika anda bercuti di luar negara, anda perlu dengan segera membuat laporan polis (dalam masa 24 jam daripada saat dicuri) sekiranya anda ingin membuat tuntutan insurans.

Contoh pampasan: Tokio Marine memberikan jaminan RM 500 bagi setiap barangan yang hilang. Tetapi dengan syarat barangan tersebut perlu berada bersama pemegang polisi ketidak hilang atau dicuri.

Tetapi perlu ingat bahawa kebanyakan syarikat insurans tidak akan memberi pampasan terhadap barangan yang hilang atau dicuri yang diakibatkan oleh kecuaian diri. Contohnya, insurans anda tidak akan melindungi kos bagi telefon yang anda jatuhkan dengan tidak sengaja dan skrinnya pecah; atau jika anda tertinggal telefon anda di atas meja makan di restoran, apabila sedar dan sekembalinya ke restoran anda dapati telefon anda telah diambil orang. Adanya insurans perjalanan tidak bererti kita tidak lagi perlu bertanggungjawab terhadap barangan peribadi kita, jadi perlulah sentiasa berhati-hati.

 

 

Untuk dapatkan tip-tip percutian lain dari kami, jangan lupa “like” kami di laman Facebook.

Jangan jadi mangsa penipuan ketika bercuti! Tonton video ini dan lengkapi diri dengan sedikit ilmu.